​Pembarigaan
mengenai Sistem New Car Assessment Program (NCAP) dan ciri-ciri
keselamatan kenderaan merupakan usaha berterusan Majlis Kebangsaan
Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) meningkatkan tahap keselamatan jalan raya
di negara ini.
Aktiviti
ini adalah usaha sama bersama Persatuan Peniaga Automobil Brunei (PPAB)
khususnya Maju Motors Sendirian Berhad dan Syarikat NBT (Brunei). Ia
adalah kesinambungan daripada persetujuan semua pengedar kenderaan di
negara ini untuk mempamerkan Star Rating NCAP dan ciri-ciri keselamatan
kenderaan di setiap kenderaan yang dijual di balai pameran (showroom)
masing-masing serta semasa pengiklanan kenderaan tersebut yang bermula
pada 1 Julai tahun ini.
Ini
adalah bertujuan untuk mengubah minda orang ramai untuk mengutamakan
ciri keselamtan kenderaan apabila memilih untuk mempunyai kenderaan
sebelum memilih aspek-aspek yang lain termasuk harga bayaran bulanan.
Perkara
tersebut disentuh oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian
Perhubungan, Dr. Awang Haji Supry bin Haji Awang Ladi ketika ditemui
Pelita Brunei semasa Kempen Pembarigaan Sistem NCAP dan ciri-ciri
keselamatan kenderaan sempena Riadah Berbasikal Keputeraan 2018,
kelmarin.
''Sistem
keselamatan yang dipasang pada kenderaan masa kini kian canggih,
selaras dengan perkembangan teknologi juga permintaan pengguna serta
hasil daripada kajian yang dilaksanakan oleh NCAP. Keselamatan kenderaan
terdiri daripada jenis PASIF, iaitu ciri keselamatan yang boleh
mengurangkan tahap kecederaan apabila terlibat dalam kemalangan sebagai
contoh 'airbag', AKTIF, iaitu ciri keselamatan yang boleh membantu
kenderaan itu daripada terlibat dalam kemalangan sebagai contoh sistem
brek yang terkini seperti Electronic Stability Control (ESC) atau
Electronic Stability Programme (ESP) dan ciri yang memberi keselesaan
atau kemudahan kepada pemandu dan penumpang,'' jelasnya.
Bermula
dengan kekukuhan badan kereta itu sendiri tambahnya, ciri-ciri pasif
dan aktif ini sudah ada dalam kereta moden dan ini adalah hasil daripada
kajian yang ada dalam Sistem NCAP yang terdiri daripada pelbagai sistem
bantuan elektronik seperti Sistem Brek Anti-Kunci (Anti-Lock Braking
System - ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) atau Program
Kestabilan Elektronik (ESP).
Malah
katanya, kini terdapat juga sistem brek kecemasan seperti ini yang mula
dipasang pada kenderaan sederhana dan tidak hanya pada kenderaan mewah
seperti sebelum ini. Ini menunjukkan Star Rating NCAP yang tinggi tidak
semestinya terdapat pada kenderaan yang mewah sahaja.
Kempen
NCAP bertujuan membuka minda orang ramai mengenai aspek-aspek
keselamatan, yang mana mengikut dapatan di negara jiran, sebanyak 64
peratus para pengguna lebih mengutamakan aspek-aspek keselamatan
daripada aspek yang lain dan ini adalah satu pendekatan terbaik yang
diikuti oleh MKKJR dan PPAB dalam usaha untuk mengubah minda orang ramai
di negara ini melalui pengetahuan mengenai NCAP Star Rating dan
ciri-ciri keselamatan kenderaan.